TANGAN LELAKI MENGGIGIL SEBELUM MAUT JATUH DALAM SUNGAI DI GERIK

22/07/2024 10:16 PM

IPOH, 22 Julai (Bernama) -- Tangan seorang lelaki menggigil sebelum beliau terjatuh ke dalam sungai, dalam satu kejadian berdekatan Jeti Kampung Pulau Belayar di Gerik, semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata pihak menerima laporan berkaitan kematian lelaki berusia 46 tahun itu 5.10 petang semalam, terus menjalankan siasatan serta pemeriksaan awal di tempat kejadian dan tubuh mangsa.

Beliau berkata pihaknya mendapati tiada berlakunya unsur-unsur jenayah dan pegawai kesihatan Hospital Gerik mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Zulkifli berkata siasatan lanjut terhadap saksi iaitu rakan mangsa yang berusia 39 tahun menyatakan pada hari tersebut kira-kira 10 pagi, mangsa bersama saksi telah pergi memukat ikan di Sungai Perak menggunakan bot milik mangsa.

“Kira-kira 4.30 petang mereka telah kembali dan merapatkan bot ke Jeti Kampung Pulau Belayar semasa mangsa dan rakan menarik bot untuk diikat di daratan, tiba-tiba rakannya melihat mangsa dalam keadaan tidak selesa, berdiri dalam keadaan tangan menggigil, kemudian jatuh ke dalam sungai.

“Rakannya terus bertindak menyelamatkan mangsa dan berjaya membawa naik ke tebing sungai. Pegawai kesihatan sampai di tempat kejadian terus membuat pemeriksaan dan mendapati mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Zulkifli berkata kira-kira 3 petang tadi, bedah siasat telah dijalankan Bahagian Forensik Hospital Gerik dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah mangsa telah diserahkan keada keluarga untuk urusan pengebumian.

“Pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan