SPRM TAHAN CEO SYARIKAT BERGELAR PROFESOR

24/07/2024 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat perkhidmatan pendidikan tinggi bergelar profesor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng dana syarikat berjumlah RM270,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 60-an itu ditahan sekitar jam 7 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Sumber itu berkata susulan penahanan terbabit, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan perintah reman selama tujuh hari sehingga 30 Julai telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan wang berjumlah kira-kira RM270,000 untuk kegunaan peribadi termasuk membayar hutang dan membeli kereta serta perbelanjaan peribadi yang lain.

“Suspek juga disyaki mengarahkan kakitangan syarikat menyediakan surat untuk bayaran gaji berjumlah kira-kira RM12,000 sebulan sejak Mac 2023 sedangkan surat pelantikan suspek sebagai CEO hanya melayakkannya menerima lima peratus daripada keuntungan tahunan syarikat,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat  mengikut  Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan