TIPU E-KASIH: BURUH DIHADAPKAN KE MAHKAMAH SEKALI LAGI

25/07/2024 02:54 PM

LENGGONG, 25 Julai (Bernama) -- Seorang buruh lelaki sekali lagi dijatuhi hukuman penjara dan sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan melakukan penipuan berkaitan bantuan eKasih.

Muhammad Halmi Ismail, 49, dikenakan hukuman penjara 42 bulan dan lima sebatan selepas mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani penjara selama dua tahun kerana hukuman penjara berjalan serentak selepas tamat tempoh pemenjaraan yang diputuskan Mahkamah Majistret di Alor Setar dan Ipoh.

Mengikut pertuduhan Muhammad Halmi didakwa menipu dua lelaki berusia 62 dan 73 tahun di sebuah stesen bas serta di sebuah bank di Kuala Kangsar pada 24 Julai dan 19 Okt tahun lepas.

Dia menipu kedua-dua mangsa dengan memperdaya mereka untuk menyerahkan wang tunai sejumlah RM450 seorang bagi tujuan pendaftaran akaun eKasih yang tidak wujud.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin memohon mahkamah memberikan hukuman berat atas kesalahan dilakukan, manakala Muhammad Halmi yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungan iaitu isteri, anak serta cucu.

Semalam, Mahkamah Majistret Ipoh menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 21 tahun dua bulan dan 14 sebatan terhadap tertuduh atas 13 pertuduhan melakukan penipuan berkaitan bantuan eKasih.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan