JSJK SYOR PENDAFTARAN PERNIAGAAN DIPERKETAT, TEKAN ASPEK KYC

25/07/2024 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengesyorkan agar mengetatkan pendaftaran perniagaan dengan menekankan pengesahan identiti pelanggan terutama syarikat baharu dibuka yang membabitkan lembaga pengarah, pentadbir serta setiausaha syarikat.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata ini berikutan penggunaan akaun keldai dikenal pasti sebagai faktor kepada semua kes scam atau penipuan yang berlaku di seluruh negara sehingga menyebabkan kerugian berbillion ringgit. 

“Selama ini, tiada undang-undang khusus berkaitan tindakan penguatkuasaan terhadap penggunaan akaun keldai menjadikan ia terus digunakan dalam jenayah penipuan. 

“Justeru, Rang Undang-undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2024 yang diluluskan baru-baru ini umpama ‘pucuk dicita ulam mendatang’,” katanya pada sidang media mingguan JSJK di sini hari ini.

Beliau berkata melalui dua RUU itu akan dapat memperkasakan lagi siasatan berkait penggunaan akaun keldai. 

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya setelah diwartakan kelak undang-undang ini akan menjadi satu mekanisme berkesan dalam usaha menangani penggunaan keldai akaun sekali gus mengurangkan berlakunya jenayah penipuan,” katanya.

Ramli berkata pindaan undang-undang itu melibatkan penambahan beberapa peruntukan tambahan merangkumi Seksyen 424A Kanun Keseksaan, Seksyen 424B, Seksyen 424C dan Seksyen 424D kanun sama.

Peruntukan itu merangkumi kesalahan berkaitan akaun keldai termasuk memiliki, mengawal, menyerahkan dan menggunakan kad ATM, kad kredit, e-dompet dan sebarang instrumen pembayaran.

“Bagi pindaan Kanun Tatacara Jenayah pula ia akan melibatkan penambahan peruntukan Seksyen 116D yang bakal memberikan kuasa kepada pegawai polis dengan pangkat tidak kurang daripada sarjan untuk merampas atau menyekat urusan berkaitan transaksi kewangan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan