BEKAS PENGARAH SYARIKAT DIDAKWA KEMUKA TUNTUTAN PALSU HAMPIR RM1 JUTA

25/07/2024 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Seorang bekas pengarah sebuah syarikat pengimport daging mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi kemudahan pembiayaan pembelian barang dagangan berjumlah hampir RM1 juta, lima tahun lepas.

Shamsuri Mohd Yusof, 52, didakwa sebagai Pengarah Syarikat ZS Armin Sdn Bhd bersubahat dengan Eksekutif Akaun syarikat berkenaan Mohd Sazali Zainal memberikan dokumen palsu iaitu lima invois Syarikat Smart FV Marketing Sdn Bhd berjumlah RM998,600.

Dokumen itu digunakan bagi menuntut kemudahan pembiayaan Trade Working Capital Financing-i untuk pembelian barang dagangan daripada Smart FV kepada ejen Agrobank Berhad, sedangkan tiada pembelian daripada syarikat terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Agrobank, Leboh Pasar Besar di sini pada 12 Sept 2019, mengikut Seksyen 28 (1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 18 ASPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bapa enam anak itu juga mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan pilihan bersubahat dengan Mohd Sazali menggunakan dokumen palsu iaitu lima Invois syarikat Smart FV berjumlah RM998,600 bagi tuntutan kemudahan pembiayaan Trade Working Capital Financing-i daripada Agrobank Berhad.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tarikh dan lokasi sama, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama, yang berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Feisal Mohd Azmi memohon jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM, Putrajaya sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Zharif Nizamuddin mewakili tertuduh pula memohon jaminan RM20,000 atas alasan Shamsuri yang kini berniaga ayam gunting menanggung isteri, enam anak serta ibu yang mempunyai penyakit kencing manis.

 Zharif juga membantah pasport diserahkan kepada mahkamah kerana anak guamnya tidak berisiko melarikan diri.

Hakim Azura Alwi menetapkan sebutan semula kes pada 15 Okt depan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan