Polis Johor Laksana Latih Amal Simulasi Gemparan Am Hingga 5 Ogos

27/07/2024 07:56 PM

JOHOR BAHRU, 27 Julai (Bernama) -- Polis Johor melaksanakan latih amal simulasi gemparan am di seluruh balai polis dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu bermula 2 Julai lepas hingga 5 Ogos depan. 

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata latih amal simulasi itu dilaksanakan mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara bagi meningkatkan keberkesanan perancangan dan tindakan pasukan keselamatan itu di negeri berkenaan dalam mendepani situasi ancaman keselamatan serta ketenteraman awam. 

"Latih amal simulasi ini juga bertujuan memastikan semua pegawai dan anggota Polis Johor dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi situasi krisis.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihat supaya tidak panik dan terpengaruh dengan khabar angin serta video latih amal yang ditularkan di media sosial," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang berita palsu berkaitan latih amal simulasi itu kerana ia boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Terdahulu, tular video berdurasi 13 saat memaparkan sekumpulan lelaki bersenjata menyerang Balai Polis Pekan Nanas di bawah IPD Pontian pada Khamis lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan