PDRM Sahkan Dua Rakyat Malaysia Ditahan Di Maldives Kerana Cuba Seludup Dadah

30/07/2024 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Maldives kerana cuba menyeludup dadah bernilai kira-kira RM3.7 juta ke negara berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata pihaknya sudah berhubung dengan pihak berkuasa Maldives mengenai tangkapan itu. 

“Maklumat lanjut mengenai kes ini akan disalurkan pihak berkuasa Maldives kepada polis dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata PDRM akan membantu siasatan dijalankan pihak berkuasa Maldives sekiranya diperlukan.

Semalam, Bernama melaporkan dua rakyat negara ini ditahan ketika cuba menyeludup dadah dipercayai jenis ganja seberat 15 kilogram ke Maldives.

Menurut polis Maldives, pegawai Kastam negara itu menemukan dadah berkenaan di dalam bagasi seorang warga Malaysia berusia 44 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana dengan penerbangan dari Dubai pada pagi Sabtu.

Dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai 12.3 juta rufiyaa Maldivian (RM3.7 juta) dan ujian awal mengesahkan bahan itu adalah ganja.

Penemuan itu membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berusia 41 tahun pada malam 28 Julai.

Rampasan ganja itu dilaporkan yang terbesar di Maldives tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan