Kes Saman Penulis Skrip Terhadap Amelia Henderson Gagal Selesai Secara Baik

06/08/2024 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kes saman difailkan seorang penulis skrip drama berjudul ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’, Haironizan Mohd Idris, terhadap pelakon Amelia Henderson akan diteruskan dengan perbicaraan selepas penyelesaian secara baik gagal dicapai melalui proses mediasi.

Peguam Nor Zabetha Muhamad Nor mewakili Haironizan, 37, selaku plaintif berkata kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat antaranya membabitkan syarat-syarat penyelesaian dalam proses mediasi yang dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mazilah Manap di Pusat Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

“Oleh itu, saman tersebut diteruskan dengan perbicaraan yang akan bermula 6 dan 7 Feb 2025 di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Faiz Dziyauddin. Pengurusan kes ditetapkan pada 4 Okt ini secara dalam talian.

“Setakat ini, pihak kami akan memanggil dua saksi, namun kemungkinan ada tambahan saksi dalam prosiding perbicaraan kes itu nanti,” kata peguam itu ketika ditemui pemberita hari ini.

Mediasi merupakan alternatif penyelesaian kes tanpa melalui proses perbicaraan penuh.

Sementara itu, peguam Mansheel Kaur yang mewakili Amelia, 29, atau nama penuhnya Amelia Thripura Henderson berkata proses penyelesaian itu gagal kerana tiada persefahaman antara kedua-dua pihak.

“Pihak kami telah bersedia untuk perbicaraan dan siapa saksi yang akan memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman ini masih dalam perbincangan,” katanya.

Dalam saman yang difailkan pada 20 Sept 2023, Haironizan yang juga penulis novel menggunakan nama pena Rehal Nuharis atau Hatta Nurharis, mendakwa Amelia menarik diri daripada membintangi drama ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’ dengan A. Aida Production Sdn Bhd pada 25 Jan 2022 tanpa sebarang alasan munasabah.

Dakwanya, Amelia kemudian telah memuat naik satu siaran video secara langsung melalui akaun Instagram miliknya pada 25 Jun 2022 dengan memberi kenyataan yang menjatuhkan reputasi serta memprejudiskan nama baik plaintif berhubung drama itu.

Plaintif mendakwa video tersebut telah memberi gambaran negatif tentang penulisan skrip plaintif dalam drama tersebut, selain komen pihak ketiga terhadap kenyataan yang dibuat defendan itu mendatangkan kecaman, kebencian serta kemarahan terhadap plaintif.

Sehubungan itu, plaintif antaranya memohon satu injuksi tetap untuk menghalang defendan, sama ada melalui dirinya sendiri atau wakilnya menyebarkan atau menerbitkan kenyataan fitnah tersebut secara lisan, media cetak atau Internet selain menuntut ganti rugi am, khas dan teruk daripada defendan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan