KPDN Pulau Pinang Tahan Lori Salah Guna Kad Fleet

08/08/2024 10:57 AM

NIBONG TEBAL, 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menahan sebuah lori selepas disyaki menyalahgunakan kad fleet untuk menyeleweng diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Simpang Ampat, dekat sini semalam.

Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata serbuan menerusi Ops Tiris 3.0 itu dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa hasil maklumat dan risikan yang memaklumkan terdapat aktiviti penyewengan diesel di stesen itu.

Beliau berkata ketika serbuan, lori berkenaan didapati sedang memindahkan cecair disyaki diesel ke dalam tangki minyak dengan menggunakan sembilan kad fleet di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati empat kad fleet yang mempunyai resit pembelian disyaki diguna pakai dengan salah. 

“Susulan itu, kita merampas sejumlah 8,500 liter minyak diesel bernilai RM 19,975 yang berada dalam sebuah tangki besi selain menyita sebuah lori, dua unit hos dan satu unit pam bermotor dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM 34,075,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran diesel, termasuklah sumber ia diperolehi dan edaran mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan