JKM Pantau Perkembangan, Keadaan Adik Zayn Rayyan - Nancy

09/08/2024 07:15 PM

PUTRAJAYA, 9 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memantau perkembangan dan keadaan adik kepada kanak-kanak autisme Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin yang kini di bawah jagaan nenek saudaranya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata tindakan dilaksanakan JKM adalah selaras dengan peruntukan undang-undang serta tanggungjawab yang telah diamanahkan, dan pihaknya sentiasa komited menjaga kebajikan dan melindungi hak kanak-kanak.

Beliau berkata nilai-nilai kemanusiaan, keadilan, dan kesejahteraan untuk semua terutama kanak-kanak sentiasa diutamakan, dan semua prosedur yang dijalankan adalah demi kepentingan terbaik kanak-kanak itu semata-semata.

“JKM akan terus memantau perkembangan dan keadaan kanak-kanak terbabit selama tempoh interim dua bulan ini dengan kerjasama Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) (iaitu nenek saudaranya) yang telah diamanahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu masyarakat diminta melaporkan sebarang kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak dengan menelefon Talian Kasih 15999 atau menghantar pesanan WhatsApp ke nombor 019-261 5999, atau terus hubungi polis.

Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini membenarkan hak penjagaan sementara adik kepada kanak-kanak autisme Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada nenek saudaranya, selama dua bulan bermula hari ini.

JKM sebelum ini memperoleh perintah jagaan sementara selama dua bulan terhadap kanak-kanak itu yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam di bawah Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

JKM mengemukakan permohonan perintah jagaan terhadap adik kepada  Allahyarham Zayn Rayyan berikutan ibu dan bapa mereka didakwa di Mahkamah Sesyen pada 13 Jun atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan