Pensyarah Rugi RM331,000 Terpedaya Sindiket 'Phone Scam'

10/08/2024 02:33 PM

JOHOR BAHRU, 10 Ogos (Bernama) -- Seorang pensyarah mendakwa kerugian RM331,000 selepas terpedaya dengan panggilan sindiket penipuan 'phone scam', pada 9 Mei lepas. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata wanita berusia 49 tahun itu menerima panggilan daripada 'pegawai Sistem Pangkalan Data Utama (PADU)' dan memaklumkan dia mendapat bantuan berjumlah RM1,200.

Beliau berkata mangsa kemudiannya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan menyatakan kononnya dia terlibat dengan penggubahan wang haram, namun dinafikan oleh mangsa. 

"Selepas itu, mangsa menerima pula panggilan daripada seseorang berpangkat 'Datuk' dan menyamar sebagai pegawai dari IPK sama yang mengarahkan dia untuk membuat pindahan wang bagi tujuan keselamatan, sementara siasatan dijalankan. 

"Mangsa telah melakukan 13 transaksi ke beberapa akaun tempatan berjumlah RM331,000 pada 9 Jun hingga 26 Julai lepas," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Raub berkata mangsa cuba menghubungi suspek selepas pembayaran dibuat tetapi mendapati talian telah disekat dan mengesyaki dia telah ditipu sebelum membuat laporan polis, semalam. 

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata sepasang suami isteri mendakwa kerugian RM120,000 selepas terpedaya dengan panggilan oleh individu menyamar sebagai anggota polis, pada 17 Julai lepas. 

Mohd Sohaimi berkata pasangan berusia 56 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai anggota unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), mendakwa bahawa akaun bank mereka terlibat dalam kegiatan penipuan.

Katanya kedua-dua pesara swasta itu yang percaya dengan kata-kata tersebut kemudiannya telah melakukan 17 transaksi melalui mesin deposit ke tiga akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM120,000, Isnin lepas. 

"Pembayaran berkenaan adalah untuk pengesahan audit kewangan, namun nombor talian telah disekat apabila semua transaksi dibuat menyebabkan mangsa sedar telah ditipu sebelum membuat laporan polis, semalam," katanya. 

Kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan