Harta Warga Asing Dibeku Kerana Manipulasi Wang Secara Haram

13/08/2024 05:08 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Harta bernilai hampir RM300 juta milik seorang warga asing dibekukan kerana disyaki memanipulasi kemasukan wang perolehan haram dari luar negara ke dalam sistem ekonomi negara melalui perkhidmatan kewangan luar pesisir.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara Bukit Aman Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata suspek lelaki berusia 30-an itu dipercayai memperoleh wang komisen daripada sindiket judi dalam talian yang mempunyai lebih 10,000 pengguna membabitkan pertaruhan bernilai RM14.05 bilion.

“Dipercayai sebahagian keuntungan sebanyak RM371 juta telah dipindahkan ke Malaysia dan pasukan AMLA membekukan satu akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) dengan unit pegangan sebanyak 108,625 unit bernilai lebih RM281 juta,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata turut dibekukan satu akaun eskrow bernilai lebih RM18.5 juta dan wang dalam dua akaun bank tempatan sebanyak RM58,048.86 menjadikan keseluruhan pembekuan lebih RM299.619 juta. 

Suspek turut mengelirukan pihak berkuasa dengan menggunakan kerakyatan satu lagi negara selain kerakyatan asal dan didapati tidak pernah masuk ke negara ini. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Polis juga mengingatkan kepada semua bank luar pesisir supaya meningkatkan lagi proses due diligence atau tindakan know your customer ke atas mana-mana pihak yang hendak membuka akaun luar pesisir. 

“Tindakan ini penting untuk mengelakkan bank-bank luar pesisir digunakan sebagai peralatan kesalahan jenayah pengubahan wang haram,” katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan