Pekerja Cuci Kereta Maut, Pengawal Keselamatan Parah Diserang Lima Lelaki

16/08/2024 10:30 AM

SUNGAI PETANI, 16 Ogos (Bernama) -- Seorang pekerja kedai cuci kereta maut manakala seorang pengawal keselamatan parah akibat tetakan di bahagian kepala dan badan dalam satu insiden di Bedong, dekat sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Dearah Kuala Muda ACP Wan Azharuddin Wan Ismail berkata pekerja berumur lingkungan 20-an itu meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

“Anggota yang bertugas di Pondok Polis HSAH menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 2.20 pagi semalam daripada pegawai perubatan hospital yang memaklumkan telah menerima dua lelaki tempatan berusia lewat 20-an dengan kesan kecederaan tetak pada kepala dan badan.

"Bagaimanapun salah seorang mangsa dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati kejadian berlaku di dua lokasi, bermula di sebuah tapak kosong di simpang ke Kampung Toh Pawang, yang menyaksikan seorang pengawal keselamatan diserang lima lelaki.

Wan Azharuddin berkata semua suspek menaiki motorsikal bersenjatakan parang menyerang pengawal keselamatan yang sedang bekerja, sehingga menyebabkan kecederaan parah di dada, tangan kiri dan kanan. 

Beliau berkata kesemua suspek seterusnya pergi ke belakang sebuah premis cuci kereta di Taman Bedong yang terletak 2.7 km dari situ dan menyerang seorang lagi lelaki menyebabkan pekerja kedai itu mengalami kecederaan parah di pelbagai anggota badan.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke HSAH oleh rakan mereka dan salah seorang mangsa disahkan telah meninggal dunia. Pihak polis masih menyiasat motif kejadian bagi kedua-dua kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Wan Azharuddin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di talian 04-4299222 atau Pegawai Penyiasat ASP Azmirul bin Abdul Aziz di talian 019-4446521 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan