Tiga Ditahan Berkait Laporan Palsu Penemuan Bayi

16/08/2024 01:36 PM

LENGGONG, 16 Ogos (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita berhubung laporan palsu penemuan bayi perempuan yang baharu lahir dalam kejadian di Pekan Titi Serong, Parit Buntar. 

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata polis pada mulanya menerima laporan daripada dua lelaki berusia 24 dan 22 tahun mengenai penemuan bayi itu yang masih bertali pusat diletakkan dalam besen di belakang tong sampah pada 5.45 petang, Rabu lepas.  

Beliau berkata mereka mendakwa terdengar tangisan bayi ketika melalui kawasan itu sekitar 4.50 petang sebelum pengadu (lelaki 24 tahun) membuat laporan polis.

Azizi berkata bertindak atas maklumat, pihak polis melakukan siasatan berhubung kes itu dan mendapati terdapat keraguan serta percanggahan fakta dalam keterangan yang diberikan oleh kedua-dua lelaki itu. 

"Siasatan lanjut mendapati laporan awal yang dibuat oleh pengadu dan rakannya itu palsu kerana bayi tersebut merupakan anak kepada si pengadu, hasil hubungan sulit dengan seorang wanita berusia 20 tahun yang tinggal di Tanjung Piandang (Kerian)," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program ‘High Profile Policing’ Bersama Ketua Polis Perak 'Katakan Tidak Pada Jenayah' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Ahmad, di sini hari ini. 

Azizi berkata setakat ini kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan akan diklasifikasikan semula selepas dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. 

Beliau berkata susulan itu, polis menahan kedua-dua lelaki terbabit serta seorang wanita yang sedang bekerja di sebuah kilang di Parit Buntar bagi membantu siasatan kes tersebut. 

"Hari ini kita akan dapatkan reman untuk ketiga-tiga suspek dan kita minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

Semalam, media melaporkan seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemukan dalam keadaan masih bertali pusat dan diletakkan dalam besen berhampiran bengkel motosikal di Pekan Titi Serong, Parit Buntar, pada 14 Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan