SUKAN > BERITA

Wilayah Persekutuan Cemerlang Raih Dua Emas Boling Padang

16/08/2024 07:07 PM

KUCHING, 16 Ogos -- Wilayah Persekutuan meraih dua pingat emas menerusi boling padang selepas mengungguli acara pairs dan triples lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Lawn Bowl Arena di sini hari ini.

Gandingan Faris Syuhairil Syukri-Muhammad Afiq Azman mendapat tentangan sengit daripada wakil tuan rumah Mohammad Aryan Nazrullah Nazaruddin-Muhammad Ramadhan Mohamad Jefrry sehingga mereka terikat 10-10.

Namun kesilapan balingan terakhir pemain Sarawak, membolehkan gandingan Wilayah Persekutuan membutirkan emas dengan kemenangan tipis 11-10.

Pingat gangsa dimenangi gandingan Johor, Akmal Darwisy Abdul Rahim-Amirul Danial Abdul Rahim yang mengetepikan cabaran pasangan Terengganu, Muhammad Haziq Yusoff-Wan Muhammad Haikal Wan Ruzali 15-8.

Bagi acara triples lelaki pula, Wilayah Persekutuan tidak berdepan masalah untuk menewaskan Terengganu 15-9 manakala Johor meraih gangsa selepas menang tipis terhadap Selangor 11-10.

“Saya tidak sangka dapat dua emas hari ini. Sebab kami sasar untuk acara pairs lelaki tetapi rezeki dapat emas dalam acara triples juga.

“Secara tidak langsung kami sudah capai sasaran dua pingat emas dan kami akan cuba untuk dapat satu lagi emas dalam acara singles lelaki,” kata jurulatih pasukan boling padang Wilayah Persekutuan Fairul Izwan Abd Muin.

Bagi acara singles wanita menyaksikan atlet Terengganu, Nur Ain Kemilia Sukri menang besar terhadap wakil Selangor, Nur Najla Damia Mustakim 20-11 yang meraih perak.

Wakil tuan rumah Dayang Nur Alia Sharmiela Abang Gadisa pula menewaskan Nur Syafira Muhammad Redzuan dari Wilayah Persekutuan 19-18 untuk pingat gangsa.

Skuad boling padang Selangor meraih pingat emas acara fours wanita selepas menewaskan Pahang 15-13 manakala gangsa dimenangi wakil Sabah yang menewaskan pasukan Kedah dengan keputusan 10-7.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan