Paderi Mengaku Tidak Bersalah Lakukan Amang Seksual Terhadap Kanak-kanak Lelaki

16/08/2024 03:25 PM

SHAH ALAM, 16 Ogos (Bernama) -- Seorang paderi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki di sebuah gereja pada Jun lepas. 

B. Moses Melchidezek, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dengan meletakkan jari kakinya di kemaluan mangsa bagi maksud seksual. 

Bagi pertuduhan kedua, Moses didakwa atas kesalahan sama dengan meletakkan tangan kanak-kanak tersebut di kemaluannya.

Kedua-kedua kesalahan dilakukan di sebuah gereja di Bandar Bukit Puchong, Puchong kira-kira pukul 5 petang hingga 7 malam pada akhir Jun 2024. 

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat. 

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nabilah Abd Rashid mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan tertuduh tidak dibenarkan untuk menghubungi mangsa. 

Peguam mewakili tertuduh Datuk N. Sivananthan memohon supaya mahkamah mempertimbangkan jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan dan menyerahkan syarat-syarat tambahan lain untuk ditentukan mahkamah. 

"Dalam kes ini pengadu (mangsa) tinggal di gereja tersebut dan mangsa telah pun berpindah keluar dan tiada risiko untuk apa-apa gangguan kepada mangsa," katanya. 

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM15,000 secara bersekali bagi kedua-dua pertuduhan dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan. 

Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Sept ini. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan