Pemandu Lori Didakwa Tolak Teman Wanita Dari Tingkat 23 Layak Dibicarakan

16/08/2024 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Majistret Shah Alam dimaklumkan hari ini bahawa pemandu lori yang didakwa membunuh kekasihnya dengan menolak wanita warga Thailand itu dari tingkat 23 sebuah kondomium pada Februari lepas, layak untuk dibicarakan.

Peguam Sivahnanthan Ragava mewakili V. Nathan, 37, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

“Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman memberitahu Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali bahawa menurut laporan penilaian psikiatri oleh Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak, tertuduh dalam keadaan mental yang stabil ketika insiden, justeru layak untuk dibicarakan.  

“Mahkamah menetapikan 24 Okt untuk sebutan semula kes,” kata peguam itu yang dibantu Cyrus Tiu Foo Woei.

Pada April, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani penilaian psikiatri susulan permohonan dibuat Sivahnanthan bahawa tertuduh menunjukkan kesukaran untuk mengikut arahan dan memberikan kerjasama dalam prosiding pertuduhan bunuh yang dihadapinya. 

Nathan berdepan pertuduhan membunuh Mawika Lumyai, 32, di sebuah kondominium di Jalan Setia Dagang AH U13/AH, Setia Alam, pada 10.02 pagi, 28 Feb.

Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau sekiranya tidak dihukum mati, dipenjara hingga 40 tahun dan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan