Imigresen Selamatkan Mangsa Eksploitasi Bawah Umur, Tahan 14 Warga Asing

16/08/2024 10:40 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Jabatan Imigresen menahan 14 warga asing dalam operasi membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di dua premis restoran sekitar Shah Alam, Selangor, semalam.

Pada operasi kira-kira 10.30 malam itu, seorang lelaki warga asing bawah umur diselamatkan Imigresen selepas disyaki dieksploitasi untuk menjadi buruh paksa.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Jafri Embok Taha berkata 14 warga asing (tidak dinyatakan umur) yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita dari Myanmar, Indonesia dan India, kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Berdasarkan maklumat diperolehi daripada sumber aduan, terdapat sejumlah warga asing yang tidak mempunyai pas yang sah, diambil bekerja dan disyaki terdapat elemen pemerdagangan orang.

“Semasa operasi dijalankan seorang pekerja yang menyedari kehadiran pegawai Imigresen bertindak melarikan diri, namun berjaya diberkas semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jafri berkata pihaknya turut menahan dua majikan warga tempatan dan empat saman saksi dikeluarkan kepada individu yang dikenal pasti untuk membantu siasatan.

Beliau berkata pihaknya menjalankan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670), iaitu memperdagangkan orang yang merupakan kanak-kanak bagi maksud eksploitasi.

Jafri berkata operasi yang menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators 2.0. (NGHTI) itu, melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan