Pencemaran Sungai Kim Kim Punca Anak Hidap Myokymia, Bukan Penyakit Semasa Kecil - Bapa

18/08/2024 09:29 PM

JOHOR BAHRU, 18 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa insiden pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada Mac 2019 adalah punca anaknya menghidap penyakit Myokymia dan ia bukan masalah kesihatan semasa kecil.

Idham Wazir A Wahab, 53, berkata laporan kesihatan Irfan Wafiy, 17, menunjukkan remaja itu menghidap asma ketika berumur empat tahun manakala Myokymia pada usia 11 tahun iaitu selepas berlaku insiden pencemaran tersebut.

“Dia dah tak ada lagi masalah kesihatan sejak itu (selepas umur empat tahun)... semasa dia kecil, ada alami demam panas sehingga menggigil dan dirujuk ke hospital dalam masa sehari untuk turunkan panas. 

“Memang langsung tiada masalah asma… cuma apabila masuk hospital akan dipakaikan nebulizer untuk cairkan kahak dan tidak boleh takrifkan itu sebagai memakai inhaler. Jadi saya tidak bersetuju itu dikatakan asma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Johor Muhammad Azzam Zainal Abidin yang mewakili Kerajaan Negeri Johor, Menteri Besar serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor pada hari kedua perbicaraan kes saman menuntut ganti rugi RM30 juta oleh 41 plaintif yang mendakwa menjadi mangsa pencemaran sungai itu. 

Idham Wazir juga tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Azzam bahawa keadaan kesihatan Irfan Wafiy ketika kecil mempunyai kesan kepada kesihatannya pada hari kejadian pencemaran sehingga kini.

Saksi itu berkata beliau terpaksa berhenti kerja buat seketika untuk menjaga Irfan Wafiy selepas insiden pencemaran tersebut.

Irfan Wafiy adalah plaintif pertama dalam kes saman itu dan kesemua plaintif yang terdiri daripada pelajar sekolah dan orang awam diwakili peguam Datuk Kamarudin Ahmad, Walter Pereira, S. Kemkumar Saviour Lopez serta Radiyah Abdul Karim.

Mereka memfailkan saman itu pada Julai 2019 dan menamakan 12 defendan termasuk Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Alam Sekitar Negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri, Syarikat P Tech Resources Sdn Bhd serta seorang pekerja dan dua pengarahnya. 

Plaintif mendakwa defendan gagal memastikan keselamatan dan perlindungan penduduk di Pasir Gudang daripada ancaman pencemaran toksik serta gagal menggerakkan serta-merta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi menangani pencemaran di Sungai Kim Kim.

Insiden pencemaran itu yang berlaku pada Mac 2019 telah menggemparkan seluruh negara kerana menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Seri Samsulbahri Ibrahim bersambung pada 14 dan 15 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan