Mahkamah Tolak Permohonan Rosmah Tangguh Prosiding Saman Oleh Syarikat Barang Kemas

16/08/2024 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menangguhkan prosiding saman yang difailkan terhadapnya oleh syarikat barang kemas yang berpangkalan di Lubnan, Global Royalty Trading SAL, berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas.

Peguamnya Rajivan Nambiar berkata Hakim Ong Chee Kwan menolak permohonan Rosmah dengan kos RM5,000.

Beliau berkata permohonan yang difailkan pada 7 Jun lepas adalah untuk menangguhkan prosiding saman itu sementara menunggu keputusan rayuan Rosmah di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk memasukkan kerajaan dan polis sebagai pihak ketiga dalam kes itu.

“Alasannya ialah sekiranya prosiding di hadapan Mahkamah Tinggi diteruskan, ia tidak sepatutnya menjejaskan prosiding pihak ketiga sekiranya Datin Seri Rosmah berjaya dalam rayuan itu.

"Mahkamah hari ini berkata sekiranya Datin Seri Rosmah berjaya dalam rayuannya, mahkamah akan memberi arahan baharu mengenai prosiding antara Datin Seri Rosmah dan pihak ketiga. Sehubungan itu mahkamah tidak membenarkan permohonan penangguhan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rajivan berkata saman itu ditetapkan untuk perbicaraan pada 2 Jun hingga 6 Jun tahun depan.

Global Royalty memfailkan saman itu pada 29 Mei tahun lepas, mendakwa Rosmah telah berbohong dengan mengatakan bahawa 44 barang kemas, termasuk rantai berlian, gelang, dan tiara yang dihantar kepadanya oleh ejen syarikat telah disita oleh pihak berkuasa Malaysia di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Global Royalty juga mendakwa isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

Syarikat itu pada mulanya menyaman Rosmah pada 26 Jun 2018 dan menuntut dia memulangkan kembali 44 unit barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih, atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan yang berjumlah AS$14.79 juta, bagaimanapun saman itu ditarik balik pada 2019.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan