Jenazah Cikgu Istiqomah Dituntut Ahli Keluarga Di Hospital Melaka

19/08/2024 04:52 PM

MELAKA, 19 Ogos (Bernama) -- Jenazah Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi, 33, guru wanita yang dibunuh kejam dan mayatnya ditemukan dalam keadaan tragis di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, tahun lepas dituntut ahli keluarganya di Unit Forensik Hospital Melaka hari ini.

Beberapa ahli keluarga berpakaian hitam tiba di Unit Forensik berkenaan kira-kira 11.40 pagi dan  jenazah dibawa keluar daripada hospital pada 2.10 petang.

Bagaimanapun, waris mangsa enggan ditemui pemberita.

Jenazah dimandi, dikafan dan disembahyangkan di hospital berkenaan sebelum dibawa pulang ke Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan hari ini. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata keluarga mangsa yang hadir di Hospital Melaka turut diberi penerangan oleh doktor bertugas mengenai keadaan jenazah.

"Saya rasa semua dah tahu ada lagi beberapa anggota badan yang masih belum ditemukan, jadi bukan keadaan sempurnalah jenazah ini.

"(Bagaimanapun) keluarga dapat terima keadaan (jenazah) setelah diberi penerangan oleh doktor," katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Melaka di sini hari ini.

Mengulas mengenai kes berkenaan, Ashari berkata setakat ini hanya seorang suspek dikenal pasti terlibat dalam kes pembunuhan kejam berkenaan dan siasatan masih berjalan.

Terdahulu, seorang lelaki yang juga bekas guru Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan membunuh.

Dia mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr Teoh Shu Yee, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pada 6 Jan lepas, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki di dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau, Pulau Sebang.

Selepas lapan bulan, Ashari mengesahkan mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Istiqomah, seorang guru yang dilaporkan hilang pada 27 Dis 2023.

Susulan itu, Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, menahan pasangan suami isteri berumur 37 dan 36 tahun di Chemor, Perak pada 6 Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan