Broker Rugi RM1.45 Juta Terperdaya Pelaburan Saham Di Luar Negara

21/08/2024 03:55 PM

JOHOR BAHRU, 21 Ogos (Bernama) -- Seorang broker mengalami kerugian RM1.45 juta selepas mendakwa terperdaya dengan pelaburan saham di luar negara pada Mei lepas. 

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata ketika melayari Facebook, wanita berusia 44 tahun itu terlihat iklan pelaburan ‘stock market’ di Hong Kong dengan nama ‘Pantheon Ventures’ yang menawarkan 100 peratus keuntungan iaitu 25 peratus bagi ejen manakala 75 peratus, kepada pelabur. 

Beliau berkata mangsa kemudiannya dimasukkan ke satu kumpulan WhatsApp ‘V-27 Pantheon Market Insight Academy’ dan diberi penerangan mengenai pelaburan tersebut selain ditawarkan perjalanan percuma ke Hong Kong untuk bertemu dengan pelabur-pelabur di sana. 

“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan telah melakukan transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank tempatan dalam tempoh Jun hingga bulan ini berjumlah kira-kira RM1.5 juta, selain turut memuat turun aplikasi Apex bagi memantau pelaburan berkenaan. 

“Setelah bayaran dibuat, mangsa dapati pelaburannya menjana keuntungan seperti dipaparkan oleh aplikasi itu. Dia juga berjaya mengeluarkan sejumlah daripada keuntungan diperoleh dan meninggalkan baki RM1.45 juta bagi meneruskan pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata bagaimanapun, mangsa yang mahu mengeluarkan lagi wang keuntungan miliknya tidak berjaya atas pelbagai alasan termasuk dia mempunyai tunggakan pelaburan serta tidak mematuhi peraturan ditetapkan, sebelum disekat daripada kumpulan WhatsApp itu. 

“Mangsa menyedari telah ditipu sebelum dia membuat laporan polis di Muar semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. 

Menurut Kumar, sebanyak 399 kes berkaitan penipuan pelaburan direkodkan dengan kerugian berjumlah RM32.9 juta bagi tempoh Januari hingga semalam, berbanding 327 kes dengan kerugian RM26 juta bagi tempoh sama tahun lepas. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan