Kebanyakan Kes Bunuh Libat Suspek Dan Mangsa Saling Mengenali

21/08/2024 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kebanyakan kes pembunuhan yang berlaku di negara ini melibatkan suspek dan mangsa yang saling mengenali, sama ada mereka keluarga, rakan atau rakan perniagaan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau berkata jumlah kes jenayah pembunuhan secara rambang di Malaysia, masih lagi kecil jika dibandingkan dengan negara lain.

“Dalam konteks Malaysia ini, random murder cases, kes pembunuhan yang berlaku secara spontan (rambang) itu begitu kecil seperti kejadian samun yang membawa kepada pembunuhan, ia berlaku tetapi pada kadar yang begitu kecil,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kursus Sains Tingkah Laku di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini.

Mengulas mengenai kursus yang dianjurkan dengan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat itu, Mohd Shuhaily berkata seramai 24 orang peserta terdiri daripada 19 pegawai kanan polis dan lima pegawai psikologi, mengikuti kursus yang bermula Isnin sehingga hari ini.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama FBI juga telah menubuhkan Behavioral Science Unit (BSU) dalam Jabatan Siasatan Jenayah, bagi merealisasikan matlamat menjadikan siasatan polis lebih efektif, berfokus dan tepat.

“Unit ini akan diketuai seorang pegawai Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) dan dibantu oleh anggota dan pegawai antaranya Bahagian D6 (Bantuan Teknik), Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat dan Bahagian D9 (Siasatan Khas),” katanya.

Mohd Shuhaily berkata penubuhan unit itu juga dapat meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap proses siasatan yang dijalankan, kerana ia bersifat holistik dengan mengambil kira aspek kemanusiaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan