Kes 1MDB Najib: Unsur-unsur Kepentingan Bukan Perkara Penting Yang Perlu Dibuktikan - Pendakwaan

21/08/2024 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan jelas menyatakan tempat, masa, tarikh dan kedudukan beliau sebagai seorang pegawai badan awam serta kesalahannya, iaitu menggunakan kedudukannya itu bagi memperoleh rasuah, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Menjawab soalan yang dikemukakan oleh hakim perbicaraan Datuk Collin Lawrence Sequerah mengenai “unsur-unsur kepentingan” dalam pertuduhan itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata unsur-unsur kepentingan bukanlah satu perkara penting untuk dibuktikan di bawah Seksyen 23 (1) Akta  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahmad Akram mengakui walaupun pihak pendakwaan tidak menyebut secara khusus kepentingan keseluruhan pertuduhan, mereka merujuk kepada "kepentingan langsung" pada bahagian tertentu dalam pertuduhan itu, pada item yang dilabel dengan angka I, II, III, dan IV, berhubung tindakan dan keputusan yang dibuat oleh Najib.

“Secara keseluruhannya (pertuduhan), kami tidak menyebut ‘kepentingan’ tetapi jika Yang Arif lihat pada penghujung angka I, II, III dan IV pertuduhan, kami telah sebutkan mengenai kepentingan langsung itu, namun kami akan mengemukakan lebih lanjut lagi apabila tiba giliran kami (untuk berhujah) nanti," katanya.

Pertuduhan pertama Najib menyatakan -- Bahawa anda (Najib) antara 24 Februari 2011 dan 14 Jun 2011, di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur sebagai pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri, Menteri Kewangan Malaysia dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, telah menggunakan kedudukan anda untuk memperoleh rasuah berjumlah RM60,629,839.43 dengan mengambil tindakan berikut:

i. Pada 1 April 2009, di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Aras 4, Pejabat Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya, melalui Memorandum Kementerian Kewangan No. 216/2639/2009, anda telah mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri untuk pemberian jaminan oleh Kerajaan Malaysia kepada Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) bagi membolehkan TIA memperoleh pinjaman pasaran domestik dan asing sehingga RM5 bilion melalui Islamic Medium Term Notes Programme;

ii. Pada 29 Julai 2009, di Bilik Mesyuarat Kabinet, Aras 4, Pejabat Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di Wilayah Persekutuan Putrajaya, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 3 April 2009, anda telah meluluskan pengambilalihan TIA. oleh Kerajaan Malaysia dan seterusnya menyebabkan nama TIA ditukar kepada 1MDB, sebuah syarikat di mana anda mempunyai kepentingan langsung;

iii. Pada 26 September 2009, anda mengarahkan Lembaga Pengarah 1MDB yang mengadakan Mesyuarat Khas di The Royale Bintang Damansara, Petaling Jaya, untuk meluluskan resolusi yang membenarkan 1MDB menyertai usaha sama dengan PetroSaudi International Limited dengan melabur dalam modal 1MDB PetroSaudi Limited, dengan melanggan 1,000,000,000 (1 bilion) saham biasa dalam 1MDB PetroSaudi Limited pada harga US$1.00 setiap satu untuk jumlah balasan US$1 Bilion (atau nilai sama dalam RM); dan

iv. Pada 16 Mei 2011, di Pejabat 1MDB, Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, telah menyebabkan Lembaga Pengarah 1MDB meluluskan Resolusi Pekeliling yang membenarkan pelaburan tambahan RM1 bilion (atau nilai sama dalam US$) di bawah Perjanjian Pembiayaan Murabah bertarikh 31 Mac 2010 dengan 1MDB PetroSaudi Limited.

Peguam utama Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ini mengemukakan hujah di hujung kes pendakwaan, dan ia akan bersambung petang ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan