1MDB: Amhari Pegawai Awam Yang Korup - Peguam Najib

21/08/2024 08:25 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin adalah pegawai awam yang korup kerana secara sedar menerima ‘pinjaman’ US$200,000 daripada ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan perkara ini pada akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

“Amhari mempunyai banyak sebab untuk melepaskan dirinya daripada tuduhan bersubahat dengan Jho Low dan untuk menyalahkan Najib. Kredibiliti beliau (Amhari) boleh diselamatkan jika kesalahannya adalah berpunca daripada arahan atau kelulusan pihak atasannya, dan bukannya motif rasuah peribadi.

"Amhari muncul sebagai saksi dengan minda yang sudah diprogram, seolah-olah ‘satu cip telah diprogram dalam kepalanya’. Dia terpaksa berkata semua itu kerana dia telah menerima rasuah daripada Jho Low," kata peguam bekas perdana menteri itu.

Pada 2019, Amhari memberi keterangan bahawa dia mengambil wang daripada Jho Low untuk membeli hartanah RM1.85 juta di Kota Damansara, Selangor. Malah dia mengaku tiada perjanjian ditandatangani antara dia dan Jho Low berhubung pinjaman itu.

Menyentuh mengenai penubuhan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) yang kemudiannya dinamakan sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Muhammad Shafee berkata Najib tidak pernah terlibat dalam penubuhan TIA.

“Sekiranya Amhari telah menghadiri mesyuarat itu atas kapasiti rasminya sebagai pegawai khas Najib, tiada rekod atau minit dikeluarkan untuk membuktikan ia telah berlaku. Peserta lain dalam mesyuarat itu tidak dipanggil untuk memberi keterangan bagi mengesahkan kehadiran Amhari,” katanya.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB, dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan dengan hukuman maksimum penjara 20 tahun, dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa melakukan perbuatan itu di bank sama antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan