Kes Bunuh Pengasas Ambank: Mahkamah Persekutuan Kekal Hukuman Mati

21/08/2024 04:54 PM

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati seorang bekas pemandu trak tunda yang disabitkan kesalahan membunuh pengasas Arab-Malaysian Bank (AmBank) Hussain Ahmad Najadi, 11 tahun lepas.

Permohonan Koong Swee Kwan untuk menyemak semula hukuman itu di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 ditolak panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang hari ini.

Panel terdiri daripada Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah.

Dalam penghakimannya, Hakim Harmindar berkata berkata mahkamah mesti mempunyai belas kasihan apabila mempertimbangkan sama ada hukuman mati wajar dilaksanakan dan hukuman itu hanya terpakai dalam kes-kes luar biasa.

Beliau berkata kes Koong merupakan kes luar biasa iaitu pembunuhan dilakukan dengan cara mangsa ditembak tujuh kali pada siang hari dari jarak dekat.

"Ini jelas tindakan yang dirancang bagi memastikan mangsa tidak akan terselamat. Pembunuhan itu mengejutkan nurani masyarakat iaitu orang biasa takutkan keselamatan mereka," katanya.

Koong, 55, dijatuhkan hukuman mati pada 27 Okt, 2017 kerana membunuh Hussain, 75, selepas perbicaraan semula kesnya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kereta Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon antara 1.30 tengah hari dan 2 petang pada 29 Julai 2013.

Rayuan Koong ditolak Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing pada 16 Okt, 2019 dan 1 Mac, 2021.

Koong, juga dikenali sebagai Sei Ngan Chai (Si Empat Mata), turut disabitkan dan dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun kerana cuba membunuh isteri Hussain, Cheong Mei Kuen, 55.

Terdahulu, peguam Koong, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, menggesa mahkamah menyemak semula hukuman mati Koong dan mempertimbangkan untuk menggantikan hukuman itu dengan penjara antara 35 hingga 38 tahun.

Beliau berkata Koong menunjukkan penyesalan dan telah memohon maaf daripada isteri mangsa. Hisyam merayu mahkamah supaya memberikan keutamaan kepada pemulihan dan belas kasihan.

"Hak awam dijaga jika perayu (Koong) dipenjarakan dalam suatu tempoh yang panjang, memberi dia peluang untuk berubah di dalam penjara. Dia tidak akan mendatangkan risiko kepada masyarakat," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul berkata kes Koong mengejutkan negara. Beliau berkata saksi pendakwaan memberikan keterangan bahawa pembunuhan itu dilaksanakan seperti cara pembunuh upahan iaitu Koong mengekori mangsa dan menembak beliau di dada.

Bagaimanapun, Yusaini berkata tiada bukti berhubung motif pembunuhan itu namun Koong telah merancang serangan itu dengan niat memastikan mangsa dibunuh.

Pada 5 Sept 2014, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati terhadap Koong selepas mendapatinya bersalah atas tuduhan membunuh Hussain dan penjara 18 tahun atas pertuduhan cuba membunuh Cheong.

Bagaimanapun pada 4 Dis 2016, Mahkamah Persekutuan mengembalikan kes itu Ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula selepas mengetepikan sabitan dan hukuman gantung sampai mati ke atas tertuduh.

-- BERNAMA

 

TAG: Ambank, Hussain Ahmad Najadi, semakan semula, Mahkamah Persekutuan, hukuman mati


JA JA AHS


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan