Warga Itali Didakwa Curi Ubat Di Premis Penjagaan Kesihatan, Kecantikan Di KLIA T2

23/08/2024 01:35 PM

SEPANG, 23 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki warga Itali didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri ubat-ubatan di sebuah premis produk penjagaan kesihatan dan kecantikan pada 19 Ogos lepas.

Maurizio Losi mengangguk faham di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki berusia 58 tahun itu didapati mencuri sekotak ubat jenis Fluimucila dan Gaviscon yang dianggarkan bernilai RM80 di premis yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 (T2) di sini kira-kira pukul 5.20 petang pada 19 Ogos.

Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun, namun tertuduh tidak memahami akta terbabit.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ain Madihah Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 4 Sept ini sebagai sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan