Bayaran Batal Percutian Ke London Dibuat Kepada Azlan Man Adalah Salah - Saksi 

23/08/2024 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Bekas Pengurus Aidil Travel & Tours Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa menjadi satu kesalahan apabila wang bayaran balik bagi pembatalan tempahan percutian keluarga Datuk Seri Azlan Man berjumlah RM430,279.95 dibuat kepada bekas Menteri Besar Perlis itu.

Mohamad Azri Ahmad, 49, berkata beliau berasa pelik apabila bayaran bagi pembatalan percutian itu dipulangkan kepada Azlan, sedangkan kerajaan negeri Perlis yang membayar pakej percutian Azlan ke London, United Kingdom pada 2016 dan 2017.

“Saya bercakap bagi pihak syarikat (Aidil Travel & Tours), saya ingin serve (beri perkhidmatan), tetapi menjadi satu kepelikan apabila wang daripada kerajaan negeri saya kena pulangkan kepada individu. Benda itu salah bagi saya,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat.

Terdahulu semasa membacakan pernyataan saksinya Mohamad Azri berkata Azlan membatalkan tempahan percutian ke London pada 2016 berjumlah RM253,195.40 dan pada 2017 berjumlah RM244,079.28, yang mana bayaran percutian itu dibuat oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun Mohamad Azri berkata bayaran balik pembatalan percutian bagi tahun 2016 berjumlah RM222,811.95 masuk ke akaun bank peribadi Azlan menerusi cek.

“Bagi bayaran pembatalan percutian pada tahun 2017 berjumlah RM207,468, saya dan Abdul Rahim Halim (bekas pengurus jualan Aidil Travel & Tours) yang serahkan wang tersebut kepada Azlan di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur,” katanya pada hari ketujuh perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong itu yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Semasa ditanya mengapa Azlan membatalkan kedua-dua tempahan percutian itu, saksi pendakwaan ketujuh itu berkata beliau dimaklumkan oleh Abdul Rahim bahawa Azlan mempunyai kekangan masa dan meminta wang tempahan percutian itu dipulangkan.

Noralis: Mengapa wang bayaran balik percutian itu dipulangkan melalui akaun peribadi (Azlan)?

Mohamad Azri: Kerana tempahan seperti tiket tidak dibuat, dan pihak kami pulang wang tersebut melalui Herwady Hashim (Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Perlis ketika itu) kepada Datuk Seri Azlan.

Kepada soalan Noralis, bagaimana saksi itu boleh mengingati kejadian mengenai penyerahan wang bagi bayaran balik pembatalan tempahan percutian itu, Mohamad Azri berkata “Saya mesti ingat sebab jumlah yang besar sebegini tidak pernah terjadi dalam syarikat saya”.

Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.

Ia membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 11 Nov ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan