Rayuan Kerajaan Terhadap Ganti Rugi Bagi Penahanan Salah Khairuddin Didengar 6 Dis

23/08/2024 05:58 PM

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Rayuan telah menetapkan 6 Dis ini untuk mendengar rayuan kerajaan berhubung ganti rugi RM300,000 yang diberikan kepada ahli politik Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan atas penahanan salah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Pada tarikh itu, mahkamah akan turut mendengar rayuan Khairuddin berhubung jumlah ganti rugi dan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman beliau terhadap kerajaan bagi pendakwaan berniat jahat.

Peguam Khairuddin iaitu Mohamed Haniff Khatri Abdulla, ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu kepada Bernama.

Beliau berkata tarikh itu ditetapkan semasa sesi pengurusan kes pada Rabu lepas oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norkamilah Aziz.

Pendengaran rayuan itu telah ditangguhkan pada Jumaat lepas susulan bantahan Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin terhadap Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan bagi mendengar kes tersebut.

Beliau berkata bantahan itu adalah kerana Sequerah masih mendengar perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada Ogos 2022, Mahkamah Tinggi telah membenarkan tuntutan Khairuddin bagi penahanan salah dan memberikan ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada beliau.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Quay Chew Soon menolak saman bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu terhadap kerajaan bagi pendakwaan berniat jahat.

Dalam samannya pada Mei 2018, Khairuddin mendakwa beliau pada mulanya ditahan oleh pihak berkuasa pada 18 Sept 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Selepas dibebaskan, beliau ditahan semula pada 23 Sept 2015 di bawah SOSMA dan didakwa di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 124L akta sama iaitu cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan serta kewangan negara.

Khairuddin menamakan pegawai Bukit Aman iaitu Wan Aeidil Wan Abdullah dan Muniandy Chelliah, bekas Timbalan Ketua Polis Dang Wangi Habibi Majinji, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud, bekas Peguam Kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan kerajaan sebagai defendan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan