Wanita Dakwa Kononnya Diculik, Mahu Bermalam Bersama-sama Rakan

24/08/2024 06:19 PM

MERSING, 24 Ogos (Bernama) -- Polis mengesahkan laporan kejadian seorang wanita tempatan disyaki dilarikan individu tidak dikenali di kawasan Endau di sini pada Khamis lepas adalah palsu.  

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada hari yang sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan. 

Beliau berkata susulan itu, gerakan mencari pembantu kedai berumur 24 tahun itu dijalankan melibatkan pelbagai elemen dan maklumat orang ramai sebelum dia ditemukan selamat di kawasan Rompin, Pahang. 

"Bagaimanapun, siasatan mendapati wanita berkenaan memberikan maklumat palsu kepada ahli keluarganya kononnya diculik kerana mahu bermalam bersama-sama rakannya di lokasi dia dijumpai. 

"Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas wanita terbabit mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Abdul Razak berkata wanita terbabit dan dua lelaki tempatan berusia 16 dan 24 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan. 

"Permohonan reman terhadap ketiga-tiga mereka dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini hingga Isnin.

"Pada masa sama, kita ingin menasihati orang ramai agar tidak memberi maklumat palsu kepada penjawat awam kerana perbuatan itu satu kesalahan dan boleh disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan