Jurujual Dipenjara Sehari, Denda RM2,000 Kerana Beri Maklumat Palsu Penemuan Bayi

26/08/2024 03:29 PM

PARIT BUNTAR, 26 Ogos (Bernama) -- Seorang jurujual dipenjara sehari dan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memberi maklumat palsu tentang penemuan bayi perempuan yang baharu lahir, dua minggu lepas.

Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi turut menetapkan hukuman penjara 14 hari terhadap  Muhammad Shahril Muhamad Radzuan, 24, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh didakwa memberi keterangan palsu tentang penemuan seorang bayi di kaunter aduan Balai Polis Bagan Serai dalam daerah Kerian pada 5.48 petang, 14 Ogos lepas mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal, namun peguam Muhammad Faizol Hashim yang mewakili tertuduh memohon denda ringan kerana anak guamnya hanya mempunyai pendapatan RM1,500 sebagai jurujual di sebuah pasar raya.

Pada 14 Ogos lepas, seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemukan dalam keadaan masih bertali pusat dan diletakkan dalam besen berhampiran bengkel motosikal di Pekan Titi Serong, Parit Buntar.

Di Mahkamah Majistret sama, seorang buruh binaan warga Pakistan dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri alat periksa tekanan darah dan mentol di sebuah surau.

Hussain Bilawal, 32, didakwa mencuri alatan milik Surau Al-Amin Batu 10 di sini yang diletakkan di tempat simpanan barang kira-kira 5.50 pagi, 15 Ogos lepas mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Siti Nur Amalina memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh, namun Hussain yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana hanya bekerja sebagai buruh binaan yang dibayar RM80 hingga RM90 sehari.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan