Pembantu Penguat Kuasa Ditahan, Disyaki Terima Rasuah Penyeludupan Diesel

27/08/2024 04:42 PM

KUALA LUMPUR 27 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pembantu penguat kuasa sebuah agensi penguatkuasaan di Kuching kerana dipercayai menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel yang beroperasi di Sibu.

Sumber SPRM memaklumkan lelaki berusia 40-an itu direman enam hari hingga 2 Sept ini selepas Majistret Mason Jaro membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuching, hari ini.

Menurut sumber, individu itu telah ditahan di Pejabat SPRM Sarawak pada 3.25 petang semalam ketika hadir bagi dirakamkan keterangan. 

"Tangkapan terhadap pembantu penguat kuasa ini adalah susulan Op Liter dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM di sebuah depoh penyimpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu pada Ahad lalu. 

"Suspek dipercayai telah menerima wang rasuah berkenaan daripada sindiket terbabit bagi melindungi kegiatan penyeludupan minyak diesel bersubsidi dan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang," katanya. 

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Beliau tidak menolak kemungkinan akan ada tindakan susulan serta tangkapan lain dalam masa terdekat.

Pada Ahad, lima individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang dipercayai menyeleweng minyak diesel milik persatuan nelayan serta membayar rasuah kepada penguat kuasa di Sibu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan dilaporkan berkata tangkapan membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an pada 4 petang di Pejabat SPRM Cawangan Sibu ketika keterangan mereka diambil.

Azam berkata dalam Op Liter berkenaan yang disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dua tongkang, beberapa tangki minyak serta 1.6 juta liter diesel selain wang tunai RM3.7 juta disita.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan