Remaja Buat Aksi "wheelie" Ketika Menunggang Motosikal Ditahan

27/08/2024 03:43 PM

IPOH, 27 Ogos (Bernama) -- Polis menahan seorang remaja lelaki selepas rakaman video dirinya melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal dimuat naik dan tular melalui media sosial semalam. 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak telah mengesan aksi itu berlaku di KM 1 Jalan Changkat Jong di sini.

“Susulan itu, seorang remaja lelaki berumur 15 tahun yang menunggang motosikal dengan aksi berbahaya (wheelie) ditahan di pekarangan Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Teluk Intan pada 5 petang.

“Rakaman aksi terbabit diambil pada petang Ahad dan pihak polis menerima video berdurasi 23 saat itu daripada orang awam yang membuat aduan menerusi aplikasi WhatsApp pada 26 Ogos,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata setakat ini, hanya terdapat seorang suspek yang membuat aksi berbahaya itu dan rakaman berkenaan dibuat sekadar perkongsian dalam media sosial iaitu aplikasi WhatsApp Story.

“Oleh itu, pihak polis telah merampas motosikal yang ditunggang suspek, selain pakaian dan topi keledar untuk tujuan siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang di atas jalan awam dengan cara berbahaya dan melulu,” katanya.

Ahmad Adnan berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana salah laku membabitkan pemanduan atau menunggang sehingga membahayakan nyawa.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan