Ebit Lew Perdaya Saya Secara Halus Untuk Ikut Kemahuannya - Saksi

28/08/2024 09:31 PM

TENOM, 28 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita hari ini memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew ada bercerita kepadanya tentang kemahuan seksualnya yang tidak dapat dipenuhi oleh isteri.

Wanita berusia 40-an itu selaku saksi kesembilan pendakwaan yang juga pengadu kes itu berkata perkara itu diceritakan Lew kepadanya dalam satu panggilan video berdurasi 44 minit sembilan saat pada 20 Mei 2021.

Dia juga menafikan ada berkongsi sesuatu yang intim mengenai dirinya kepada Lew sepanjang tempoh panggilan video itu dan tidak membuat apa-apa rakaman.

Pengadu juga bersetuju dengan soalan peguam Lew, Datuk Ram Singh semasa pemeriksaan balas bahawa saksi secara sukarela mengambil bahagian dalam panggilan video tersebut.

Pengadu berkata dia merasakan Lew telah merosakkan dirinya dengan memperdayakannya secara halus sehingga terikut-ikut dengan kemahuan tertuduh.

Wanita itu juga menafikan mahu melakukan hubungan intim dengan tertuduh. 

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani disambung esok.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan