Remaja Perempuan Berdepan Empat Pertuduhan Dera Kanak-kanak

12/09/2024 03:47 PM

SEREMBAN, 12 Sept (Bernama) -- Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat tuduhan penderaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia antara lima hingga enam tahun di sebuah pusat asuhan dekat sini bulan lepas.

Dia membuat pengakuan itu di dua Mahkamah Sesyen dengan masing-masing dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin dan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Menurut empat pertuduhan, pembantu penjaga itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak telah menganiaya empat kanak-kanak perempuan dengan cara menekap sudu besi panas pada lengan mangsa sehingga melecur di sebuah pusat jagaan dekat sini pada Ogos lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama. Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali. 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noraziha Asmuni dan Syamimi Farhana Muhammad A. Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding pertuduhan pertama dan kedua, Noraziha memohon tiada jaminan ditawarkan kepada remaja itu kerana dikhuatiri tertuduh mengganggu mangsa dan mengulangi kesalahan sama terhadap kanak-kanak lain.

Tertuduh kemudian merayu jaminan diberikan selain menyatakan bahawa dia menghidap penyakit saraf, migrain dan kesakitan tulang belakang, namun tidak pernah membuat pemeriksaan kesihatan.

"Saya juga menerima elaun RM300 sebulan sejak lima bulan bekerja," katanya.

Hakim Surita menetapkan jaminan RM40,000 bagi dua pertuduhan selain tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis terdekat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah manakala Hakim Meor Sulaiman tidak menawarkan jaminan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 18 Okt ini sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan