Bekas Pelumba Negara: Reman Tiga Lelaki Disambung Enam Hari Lagi

17/09/2024 02:30 PM

KANGAR, 17 Sept (Bernama) -- Tahanan reman terhadap tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes tetak sehingga mengakibatkan kematian bekas pelumba Moto3 dan Cub Prix negara Elly Idzlianizar Elias, 40, disambung enam hari lagi bermula esok.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata Majistret Mahkamah Kangar Ana Rozana Mohd Nor membenarkan sambungan reman terhadap suspek yang berumur antara 21 hingga 51 tahun  itu.

“Untuk makluman reman sambung mulai 18 hingga 23 Sept 2024,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Khamis lepas, media melaporkan polis mengesahkan kematian Elly Idzlianizar disebabkan kecederaan parah akibat ditetak selepas terbabit dalam pergaduhan di sini pada Selasa lepas.

Susulan itu, polis menahan tiga lelaki itu di beberapa lokasi berasingan di sekitar Perlis pada Rabu lalu yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan, dan merampas sebilah pedang samurai berukuran 112 sentimeter dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan.

Kesemua suspek itu direman tujuh hari bermula 11 Sept lepas hingga hari ini sebelum disambung lagi enam hari bermula esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan