Guru Rugi Lebih RM160,000 Terpedaya Sindiket Penipuan Panggilan Telefon

07/10/2024 06:30 PM

KUANTAN, 7 Okt (Bernama) -- Seorang guru wanita kerugian lebih RM160,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon, bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 34 tahun itu, pada mulanya menerima panggilan telefon kononnya wakil bahagian perkhidmatan pelanggan Shopee, yang memberitahu wanita itu telah menjalankan perniagaan di platform tersebut.

Beliau berkata bagi menafikan mangsa menjalankan perniagaan, wanita berkenaan telah diminta membuat laporan di e-reporting Polis Diraja Malaysia.

“Mangsa seterusnya menerima panggilan telefon kononnya polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, sebelum disambung kepada pegawai polis Bukit Aman yang memaklumkan akaun bank mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

“Bagi menyelesaikan hal tersebut, mangsa telah membuat pinjaman peribadi dan menggunakan simpanannya berjumlah lebih RM160,000, serta melakukan 11 transaksi kepada beberapa akaun berbeza yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang menyedari ditipu, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Yahaya menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan sebarang dakwaan menerusi panggilan telefon individu tidak dikenali, sebaliknya semak dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan