10 Ditahan Dipercayai Terlibat Samun Berkawan Bersenjata Rumah Ahli Perniagaan

07/10/2024 10:08 PM

SHAH ALAM, 7 Okt (Bernama) -- Polis menahan sembilan lelaki dan seorang wanita dipercayai terlibat kejadian samun berkawan dan bersenjata di rumah seorang ahli perniagaan di Pandamaran, Klang, Khamis lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemuanya yang berusia 23 hingga 46 tahun termasuk ketua kumpulan terbabit ditahan di Mantin, Negeri Sembilan dan sekitar Lembah Klang menerusi Op Casa yang dimulakan pada hari sama.

Beliau berkata ketua kumpulan itu berusia 30-an dan mempunyai 14 rekod jenayah termasuk dua kes bunuh dan satu cubaan bunuh.

“Kumpulan terdiri daripada 10 hingga 12 individu itu disifatkan ganas dan berbahaya dengan aktif melakukan jenayah sejak setahun lepas sekitar Klang Selatan, dekat sini dan Negeri Sembilan.

"Kita telah mengikuti kumpulan ini sejak awal tahun lagi. Mereka akan bertindak lebih daripada samun iaitu mencederakan mangsa sekiranya digugat," katanya pada sidang media di sini hari ini.  

Hussein berkata pihaknya sedang giat mengesan saki-baki ahli kumpulan itu yang dipercayai ada dalam kalangan mereka terlibat kegiatan kongsi gelap.

Beliau berkata 10 individu terbabit kini direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam kes lain, Hussein berkata polis menumpaskan satu kumpulan pecah rumah terdiri daripada enam warga China dibantu seorang lelaki tempatan yang aktif melakukan kegiatan itu di sekitar Sabak Bernam.

Beliau berkata kesemua individu berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan di sebuah hotel tiga bintang di Kuala Lumpur serta kondominium di Subang Jaya pada Sabtu dan semalam.

“Hasil siasatan mendapati mereka menyasarkan rumah dua tingkat yang tidak berpenghuni dengan melarikan barang berharga termasuk yang disimpan di dalam peti besi keselamatan. 

“Keenam-enam warga China itu tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah dan siasatan lanjut dilakukan bagi mengetahui berapa lama mereka berada di negara ini,” katanya sambil menambah kesemuanya direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan