Warga Emas Maut Kemalangan Jalan Raya Di Selangau

08/10/2024 04:00 PM

SIBU, 8 Okt (Bernama) -- Seorang pemandu warga emas maut di tempat kejadian apabila kereta dipandunya berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 75, Jalan Sibu-Bintulu, Selangau kira-kira 7.40 pagi hari ini. 

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata mangsa, seorang lelaki dikenali sebagai Dian Igoh, 67, cedera parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Selangau. 

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang bergerak lurus di lorong kanan jalan dari Sibu ke Bintulu berlanggar dengan kenderaan dipandu mangsa yang membuat pusingan U,” katanya.

Muhamad Rizal berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seterusnya beliau berkata pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda berusia 42 dan 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata sebaik saja menerima panggilan pada 7.52 pagi, Pasukan Keluaran Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau telah digerakkan ke lokasi kejadian. 

Beliau berkata anggota-anggota bomba telah bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan jenis Perodua Myvi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan