Pemain Bola Sepak Dungun FA Maut Terlibat Kemalangan

08/10/2024 04:49 PM

KUALA TERENGGANU, 8 Okt (Bernama) -- Seorang pemain bola sepak kelab amatur Dungun FA maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Kampung Che Lijah, Dungun, malam tadi.

Mangsa, Muhammad Aidi Kasim, 25, yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bukit Besi cedera parah di bahagian kepala dan badan akibat kemalangan pada 10.35 malam itu.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata setibanya mangsa di lokasi, sebuah kereta jenis Perodua Alza dipandu seorang peniaga lelaki berusia 19 tahun dari bahu jalan sebelah kiri telah masuk ke laluan digunakan Muhammad Aidi yang menunggang motosikal jenis Honda RS150R.

“Akibat jarak terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian kanan kereta Perodua Alza berkenaan. Kemudian datang sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 24 tahun lalu melanggar mangsa yang terjatuh di atas jalan.

“Muhammad Aidi yang bekerja sebagai polis bantuan mengalami kecederaan parah telah meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat di bawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Maizura berkata dua lagi pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan