BERITA TERGEMPAR   Flood preparation: 459 PPS identified in Kelantan, capable of accommodating more than 100,000 victims - MB | 

Bapa Altantuya Mohon Hukuman Mati Azilah Diringankan Kepada Dipenjara

10/10/2024 01:13 PM

PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Bapa kepada wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu telah mengemukakan surat bagi memohon hukuman mati terhadap bekas polis Azilah Hadri yang disabitkan membunuh anaknya, diringankan kepada pemenjaraan.

Peguam Azilah, J.Kuldeep Kumar memaklumkan perkara itu hari ini kepada panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar permohonan Azilah untuk semakan semula hukuman mati terhadapnya

Panel terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tun Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan. Prosiding masih berjalan.

Dalam surat yang dibacakan Kuldeep kepada mahkamah, Shaariibuu Setev menyatakan permohonannya adalah atas dasar hormat yang mendalam pada sifat kemanusiaan rakyat Mongolia.

Menurut Kuldeep, Shaaribuu dalam suratnya menyatakan sangat penting untuk mengiktiraf bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mempertahankan kesucian kehidupan, menekankan bahawa semua makhluk di planet ini mempunyai hak untuk wujud.

Kuldeep berkata Shaariibuu juga meminta agar permohonannya itu disampaikan kepada Sirul Azhar Umar dan peguamnya, mahkamah, pejabat pendakwa raya dan kerajaan.

Beliau berkata Shaariibuu meminta agar nilai kemanusiaan diangkat dan penyataan yang jujur ditegakkan di semua negara.

Dalam suratnya, Shaariibuu turut menggesa penyelesaian segera terhadap saman sivil yang difailkan terhadap Azilah, Sirul dan kerajaan, yang menurutnya telah lama tertangguh.

Ini merupakan kes pertama di Malaysia ahli keluarga si mati telah menyokong permohonan semakan hukuman banduan.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman oleh keluarga Altantuya terhadap Azilah, Sirul dan kerajaan justeru memutuskan keluarga Altantuya dibayar RM5 juta sebagai ganti rugi.

Perkara itu kini menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. Azilah, 48, disabitkan membunuh Altantuya pada 2009 bersama bekas koperal Sirul, 53, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi keesokan harinya pada 2006. 

Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-dua lelaki itu.

Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah pada 2015 apabila Mahkamah Persekutuan mengesahkan hukuman mati tersebut. Dia dipercayai berada di Australia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan