BERITA TERGEMPAR   Flood preparation: 459 PPS identified in Kelantan, capable of accommodating more than 100,000 victims - MB | 

Wanita Disyaki Minta Rasuah Untuk Dapatkan Gelaran Datuk Seri Direman Lima Hari

10/10/2024 03:07 PM

MELAKA, 10 Okt (Bernama) -- Seorang wanita direman lima hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan RM48,000 daripada seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan Darjah Kebesaran Melaka, pada tahun lepas. 

Perintah reman terhadap suspek yang merupakan bekas ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berusia 42 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri. 

Menurut sumber, wanita itu yang pernah bertugas sebagai wartawan disyaki menerima wang rasuah daripada ahli perniagaan berkenaan sebagai balasan bagi mendapatkan darjah kebesaran ‘Datuk Seri’ sempena Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran negeri pada tahun lepas.

“Siasatan awal juga mendapati wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dari 2022 hingga 2023 dan terdapat puluhan transaksi kemasukan wang ke dalam akaun miliknya itu sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata wanita itu ditahan di Pejabat SPRM Melaka pada 3.45 petang semalam, selepas diminta hadir bagi memberi keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a) (A) SPRM 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan