KD Pendekar Berjaya Diapung Semula - TLDM

13/10/2024 11:24 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kapal Diraja (KD) Pendekar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang tenggelam pada 25 Ogos lepas akibat mengalami kebocoran dan kebanjiran besar berjaya diapungkan kembali petang semalam.

TLDM dalam kenyataan memaklumkan kapal itu diapung pada 4.38 petang menerusi operasi salvaj yang dapat diselesaikan meskipun berhadapan beberapa cabaran.

“Lokasi kapal berkenaan karam kini disahkan selamat dan tiada tinggalan peluru atau bahan letupan yang boleh mengancam keselamatan komuniti maritim khususnya yang sering menggunakan perairan itu. 

“Masa hadapan kapal berusia lebih 45 tahun itu akan diputuskan bersekali dengan rancangan ‘Phasing In–Phasing Out’ kapal-kapal usang yang masih di dalam perkhidmatan secara menyeluruh selaras dengan Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5,” menurut kenyataan itu.

TLDM turut memaklumkan bahawa kapal itu sedang menjalani pembaikan awalan sebelum diserahkan kembali kepada TLDM, manakala punca dan faktor menyebabkan insiden berkenaan sedang disiasat lembaga siasatan.

Pada 25 Ogos, KD Pendekar dilaporkan mengalami kebocoran dan kebanjiran besar akibat terlanggar objek bawah air di kedudukan dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor sebelum tenggelam sepenuhnya pada petang hari yang sama. 

Tiga hari selepas itu, seorang anggota penyelam TLDM Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa dilaporkan meninggal dunia ketika melakukan operasi salvaj kapal berkenaan.

– BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan