Syarikat China Rugi RM2.6 Juta Terperdaya Urus Niaga Musang King

15/10/2024 12:54 PM

JOHOR BAHRU, 15 Okt (Bernama) -- Sebuah syarikat di China terperdaya dalam urus niaga palsu berkaitan import durian Musang King sejuk beku sehingga menyebabkan kerugian RM2.6 juta.

Ketua Polis Johor Datuk CP M Kumar berkata pengurus syarikat berkenaan mendakwa telah berurusan dengan seorang individu yang juga warga China bagi tujuan urus niaga dan transaksi pemindahan wang pada 5 Julai lepas menggunakan akaun bank sebuah syarikat berdaftar di Malaysia.

Beliau berkata pengurus itu mendakwa syarikatnya diyakinkan oleh individu itu bahawa durian Musang King tersebut boleh diimport dari Malaysia ke China dengan menggunakan permit import (AP) sebuah syarikat import eksport buah-buahan yang beralamat di negara ini. 

“Pihak syarikat berjumpa individu itu di China dan bersetuju untuk membeli 3,840 karton durian Musang King sejuk beku bernilai 4.3 juta renminbi atau RM2.6 juta. Syarikat pengadu kemudian telah melakukan transaksi pemindahan wang ke dalam akaun bank milik syarikat lain berdaftar di Malaysia seperti yang diarahkan oleh individu berkenaan.

“Mereka dijanjikan menerima durian Musang King sejuk beku itu dalam tempoh sebulan selepas pembayaran dibuat namun sehingga kini syarikat pengadu masih belum menerimanya seperti yang dijanjikan dan individu tersebut juga gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengurus itu juga telah meminta rakannya di Malaysia untuk mencari syarikat pemilik AP tersebut dan syarikat berkenaan mengesahkan tidak pernah melakukan urus niaga terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420/411 Kanun Keseksaan dan Kumar menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada apabila berurusan dengan individu tidak dikenali.

Beliau menambah latar belakang individu atau sesebuah syarikat juga perlu disemak dengan pihak berkuasa atau agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebelum transaksi pembayaran dilakukan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan