Polis Tahan Lelaki, Rampas Dadah Bernilai Hampir RM50 Juta Di Kelantan

15/10/2024 03:10 PM

KOTA BHARU, 15 Okt (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki menyimpan dan menyeludup lebih 600 kilogram (kg) pil yaba dan heroin yang dianggarkan bernilai RM49.17 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata pil yaba seberat 652.4 kilogram (kg) dan 2.6 kg heroin itu merupakan rampasan terbesar jabatan itu tahun ini.

Beliau berkata suspek yang merupakan penganggur berumur 32 tahun ditahan di sebuah rumah di Salor, Pasir Mas pada Isnin lepas.

“Suspek yang bertindak sebagai penghantar dadah itu dipercayai telah bergiat aktif dalam sindiket berkenaan sejak Jun tahun ini.

“Hasil siasatan mendapati suspek akan diberi upah sebanyak RM100 untuk menghantar dadah berdasarkan kuantiti yang berjaya dihantar kepada ahli sindiket dadah,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.

Khaw berkata modus operandi sindiket adalah menjadikan premis yang disewa sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum bahan itu diedarkan untuk pasaran tempatan di sekitar Pantai Timur.

Beliau berkata polis turut menyita sebuah Perodua Myvi dan sebuah motosikal dianggarkan bernilai RM61,000.

“Polis percaya bekalan dadah itu baru disimpan di rumah berkenaan selama seminggu sejak rumah itu disewa suspek pada 2022.

“Bekalan dadah berkenaan boleh digunakan seramai 6.78 juta penagih dadah manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil menambah suspek direman selama seminggu. 

Khaw berkata lelaki itu juga disahkan positif dadah jenis benzo selain mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Menurutnya, siasatan lanjut bagi mengesan saki-baki dalang sindiket terbabit masih dijalankan dan polis juga telah mengenal pasti beberapa individu dipercayai ahli sindiket itu.

“JSJN bertekad untuk memerangi musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan