Kastam Gagalkan Penyeludupan 207kg Dadah Disembunyikan Dalam Mesin Industri

16/10/2024 10:14 PM

SEPANG, 16 Okt (Bernama) -- Taktik licik penyeludup menyembunyikan 207 kilogram (kg) dadah jenis metamfetamina bernilai lebih RM6.6 juta dalam sebuah mesin industri berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata pada 6 Okt lepas, pemeriksaan harian di terminal kargo KLIA membawa kepada penemuan mesin industri itu dengan dadah disembunyikan dalam ruangan khas mesin berkenaan.

“Dadah itu dari benua Amerika, dipercayai transit di sini untuk tujuan pengedaran di negara Teluk. Kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama Kerajaan Arab Saudi dan JKDM, yang telah menerima maklumat risikan daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata modus operasi penyeludup adalah dengan mengikrarkan dagangan sebagai mesin pengukur industri dan menyembunyikan dadah dalam bahagian rahsia. 

Selain itu, Anis Rizana berkata pihaknya turut menemukan 3 kg dadah jenis kanabis bernilai hampir RM102,300 di Terminal 1 KLIA pada 10 Okt lepas hasil pemeriksaan ke atas bagasi dua lelaki tempatan yang baru tiba dari negara jiran.

Beliau berkata kedua-dua mereka juga didapati positif dadah jenis metamfetamina dan siasatan awal mendapati kanabis itu cuba dibawa masuk untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

“Pegawai kastam yang bertugas telah mengesan objek mencurigakan dalam dua bagasi milik penumpang dan telah menemukan 58 bungkusan plastik lut sinar kedap udara yang mengandungi gumpalan tumbuhan berwarna hijau. Ia menggunakan plastik kedap udara bagi mengelak bau dikesan.

“Bagasi tersebut juga didaftar masuk menggunakan kaedah bagasi telah diperiksa bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya sambil menambah kes itu masih dalam siasatan.

Selain itu, beliau berkata pihaknya turut menjumpai plastik lut sinar yang disyaki mengandungi dadah jenis metamfetamina dan ketamin seberat 10.12 kg dengan nilai rampasan sekitar RM451,420, pada 6 Okt lepas.

Penemuan itu susulan pemeriksaan ke atas satu kotak yang ditinggalkan dengan tag penerbangan dari Kuala Lumpur ke Miri dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menyifatkan ketiga-tiga kes berkenaan sebagai rampasan terbesar di KLIA tahun ini, beliau berkata JKDM akan terus bekerjasama dengan negara luar dan pelbagai agensi bagi memerangi penyeludupan dadah, di samping memohon orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan