Kastam Perlis Rampas Tiga Kereta Termasuk Kereta Mewah Bernilai Lebih RM1.1 Juta

15/10/2024 04:58 PM

KANGAR, 15 Okt (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis menyita tiga kereta termasuk sebuah kereta mewah bernombor pendaftaran Pulau Bebas Cukai iaitu Langkawi bernilai lebih RM1.1 juta kerana dipercayai berada di Kawasan Utama Kastam (KUK) melebihi tempoh 90 hari tanpa kebenaran.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata tiga kereta berkenaan disita dalam pemeriksaan berasingan termasuk Mazda 2.0 Sedan SKYACTIV dianggarkan bernilai RM50,000 dan cukai RM78,500 pada 1 tengah hari, 26 Sept lepas.

 “Pada hari sama, sebuah lagi kereta jenis Toyota Camry disita pihak Kastam dianggarkan bernilai RM55,000 dan cukai RM86,570 dalam pemeriksaan lebih kurang 3.30 petang. Pemeriksaan terhadap dua kereta ini dilakukan di Pejabat Kastam Cawangan Penguatkuasaan Kuala Perlis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ismail berkata pihaknya menyita sebuah lagi kereta yang merupakan kereta mewah jenis Porsche 982 Cayman GT4 RS dianggarkan bernilai RM1 juta dan cukai RM1.9 juta dalam pemeriksaan ke atas kereta itu di Kompleks Kastam Negeri di sini pada 6.20 petang, 1 Okt lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua kereta itu disyaki berada di KUK melebihi tempoh yang dibenarkan di bawah Butiran 14, Bahagian I, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Ismail berkata Kastam Perlis berjaya merampas rokok pelbagai jenis dan minuman keras dipercayai tidak berkastam bernilai keseluruhan lebih RM18,000 dalam dua pemeriksaan berasingan di sekitar Perak bulan lepas.

“Pemeriksaan ke atas sebuah premis kedai runcit di Jalan Besar Felda Gunung Besout 1, Sungkai pada 9 Sept, lebih kurang 11.15 pagi, telah menemukan 263 karton atau 46,745 batang rokok disyaki tidak berkastam bernilai RM10,527.85 dan cukai RM31,909.49,” katanya.

Mengenai rampasan minuman keras dipercayai tidak berkastam pula katanya sebanyak 752.40 liter atau 2,280 tin dengan anggaran nilai RM7,600 dan cukai RM12,140 dirampas dalam pemeriksaan ke atas sebuah stor tidak berkunci di Jalan Perusahaan 7, Kawasan Perindustrian Kemunting pada 3 petang, 12 Sept lepas.

“Kedua-dua kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan