Pegawai Perubatan Rugi Lebih RM100,000 Terperdaya Tawaran Kerja Sambilan

16/10/2024 09:35 PM

MUAR, 16 Okt (Bernama) -- Seorang pegawai perubatan kerugian RM113,086.40 apabila wang simpanannya lesap selepas mendakwa terperdaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian yang tidak wujud. 

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata lelaki berusia 27 tahun itu menyatakan telah berkenalan dengan seorang individu melalui satu aplikasi dan ditawarkan kerja sambilan. 

Beliau berkata mangsa kemudian mendapatkan maklumat lanjut sebelum diminta untuk membuat tinjauan mengenai kecekapan tenaga melalui pautan diberikan dan akan menerima komisen sebanyak 20 peratus. 

“Mangsa yang percaya dan tertarik dengan pulangan lumayan itu telah mendaftar sebagai ejen dalam sebuah laman sesawang namun bagi mendapatkan pautan tinjauan itu dia telah melakukan 14 transaksi ke lima akaun berbeza berjumlah RM113,086.40. 

“...melalui paparan laman sesawang yang dimuat turun menunjukkan mangsa memperoleh keuntungan sebanyak RM130,000. Bagaimanapun, dia diminta untuk membuat bayaran tambahan sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Raiz Mukhliz berkata mangsa sebaliknya enggan membuat bayaran dan berasa telah ditipu sebelum bertindak membuat laporan polis semalam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan