Op Naga: 598 Vesel Nelayan Asing Ditahan

17/10/2024 04:22 PM

PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Sebanyak 598 tangkapan Vesel Nelayan Asing (VNA) dilaksanakan sepanjang lima tahun pelaksanaan OP NAGA bermula Mei 2019 hingga September 2024, kata Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, nilai keseluruhan tangkapan yang dicatatkan berjumlah lebih RM209 juta.

Sebanyak 75 peratus tangkapan yang dilakukan melibatkan 451 VNA Vietnam dengan jumlah kru yang ditahan seramai 4,391 orang manakala nilai keseluruhan tangkapan melebihi RM190 juta.

"Ancaman aktiviti perikanan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal perlu ditangani dengan kerjasama semua pihak sama ada pasukan keselamatan mahupun komuniti maritim setempat.

"Jika tidak dibanteras, aktiviti ini akan menjejaskan habitat ekosistem marin yang bakal mengancam pembiakan benih ikan, akhirnya akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berharap kerjasama menjayakan Op Naga dapat diperkasa lagi demi menjaga kedaulatan serta memastikan sumber ekonomi negara sentiasa terpelihara.

Op Naga ialah operasi bersepadu yang dikoordinasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia; Tentera Udara Diraja Malaysia; Polis Diraja Malaysia; Jabatan Kastam Diraja Malaysia; dan Jabatan Perikanan.

Ia turut mendapat kerjasama Jabatan Laut Malaysia; Jabatan Imigresen; Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah; Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia; Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup; serta Jabatan Perikanan Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan