Polis Kesan Individu Menyamar Timbalan Ketua Polis Negara Di WhatsApp

21/10/2024 08:37 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan individu yang menyamar sebagai Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay di aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata individu berkenaan dikesan melakukan penyamaran itu dalam satu kumpulan sembang aplikasi WhatsApp yang dinamakan “FRIENDSHIP GROUP”.

“Dalam kumpulan sembang itu, polis telah mengesan satu pesanan individu yang mengaku sebagai “Datuk Ayob Khan Mydin” serta mengajak individu lain untuk turut menyertai kumpulan sembang itu.

“PDRM ingin menegaskan bahawa Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay tidak pernah mengendalikan sebarang kumpulan sembang khas di aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan hari ini

Rusdi berkata perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta berpotensi memburukkan imej pasukan PDRM.

Beliau berkata pihaknya akan bertindak tegas dan menjalankan siasatan terhadap pemilik nombor dan individu berkaitan yang cuba menggunakan nama pimpinan tertinggi PDRM mahupun orang lain, berdasarkan lunas undang-undang.

Rusdi turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan aktiviti penipuan dalam talian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan